Sunday, August 9, 2015

Nostalgila: Meneroka falsafah hari raya masyarakat melayu.


Filem Nostalgila yang ditayangkan berulang kali pada musim raya 2015 mempunyai daya tarikan tersendiri. Dari genre 'Road Movie', cerita tentang perjalanan pulang beraya tiga insan yang sebelumnya saling tidak mengenali membawa penonton mengikuti suka duka perjalanan pulang beraya dari Johor Ke Perlis.

Percubaan untuk mentafsir idea raya dari perspektif yang alternatif merupakan sesuatu yang saya rasa menarik dalam filem ini. Sudah tentu kisah klise tentang raya memang ada pada filem ini. Kisah beli tiket, anak2 beli mercun, kisah anak2 muda yang teruja untuk pulang beraya, lampu pelita raya dan sebagainya memang ada. Tetapi ada beberapa kelainan yang membawa penonton ke dimensi lain.

Kita mulakan dengan watak Zek yang merupakan contoh ideal bagi seorang gadis melayu yang mempunyai ayah ibu dan keluarga di Kampung. Semangatnya untuk pulang beraya memang sesuatu yang senang difahami. Tetapi dalam kisah ini, konsep raya yang dipegang oleh Zek akan di gandingkan dengan dua lagi watak yang mempunyai profil yang agak berlainan bagi masyarakat melayu amnya. Ini dibawa oleh watak Kid, wanita yang nampak rebelious, dan Haq, petualang yang agak misteri latarbelakangnya. Mereka berjumpa secara takdir di perhentian bas ketika masing2 ketiadaan cara untuk pulang beraya.

Konsep raya yang masyarakat melayu sedia faham di cabar oleh Kid yang tak menghiraukan beraya dengan keluarga tahun ini kerana ingin mencari keluarga kandungnya. Dia menyalahkan ibubapanya kerana tidak memberitahu tentang keluarga kandungnya. Tak penting bagi nya untuk berada bersama ibu bapa tersayang pada sehari sebelum raya, atau bersalaman pada pagi raya, kerana konsep ibu ayah kandung yang dia tak pernah jumpa lebih penting baginya. INi satu persoalan yang menarik untuk masyarakat. Apakah erti raya sebenar? adakah bersalaman bermaafan dengan keluarga pada pagi 1 syawal, atau yang lebih penting mengetahui siapa itu ibu dan ayah kandung.

Kemudian watak Haq pula amat meruntun simpati. Dia kelihatan pelik. dengan kacamata yang besar, penampillan yang kurang kemas dan membawa dua beg besar menimbulkan banyak persoalan. Akhirnya kita tahu bahawa dia tidak punya ibubapa bahkan keluarga yang normal sejak kecil. Jadi tidak ada baginya idea bersalaman bermaafan dengan kaum keluarga di pagi raya. Di akhir filem kita tahu bahawa dia berkembara dengan satu tujuan, untuk menghidupkan roh hari raya dengan memasang pelita di setiap tempat mereka berhenti. Dia tidak mengharapkan balasan. Dari satu segi kita terasa terharu dengan keikhlasannya berbuat demikian, di samping simpati dengan fakta dia sebatang kara. Dari segi lain, ia mungkin menunjukkan betapa dia mendambakan nikmat rakya tanpa komponen yang sangat penting bagi seorang yang punya ibu ayah dan kaum keluarga. Mungkin hanya itu caranya dia memahami erti raya. Dia tidak kisahpun tentang sembahyang raya, tentang kuih raya, lemang ketupat atau meziarahi teman dan rakan. Bahkan sehingga di malam raya dia mengucapkan selamat tinggal kepada satu2nya rakan yang dia ada iaitu Zek dan Kid. Ini menunjukkan mungkin pada setiap insan, idea tentang hari raya itu mesti ada, walaupun baginya cuma memasang pelita raya.

Akhirnya kita terfikir, ada sesuatu tentang makna hari raya yang dicari. Kita ditinggalkan dengan persoalan, apakah yang kita cari pada hari raya?



No comments:

Post a Comment